Friday, March 20, 2015

Stress... pandangan dan pendapat

Dari sudut pandangan seorang guru yang juga pelajar 




Setelah menulis dan menghuraikan definisi, faktor, kesan dan cara mengatasi stress, dapat saya simpulkan bahawa stress adalah satu gejala yang diundang sendiri oleh kita. Stress sememangnya wujud dalam diri setiap manusia, bezanya adalah bagaimana seseorang itu mengawal, mengatasi dan mencari jalan keluar supaya gejala stress ini tidak memudaratkan diri sendiri ataupun orang lain yang berada disekeliling kita. Melalui pembacaan saya, stress mampu membimbing kita untuk jadi gembira sekiranya kita menerima sesuatu bebanan itu dalam bentuk yang positif, bahkan stress juga boleh memudaratkan diri kita samada dari segi fizikal, mental, emosi dan perbuatan sekiranya kita tidak tahu untuk mengawal dan menanganinya secara negatif.

Stress disebut sebagai tekanan dalam Bahasa Malaysia iaitu sesuatu bebanan perasaan yang tidak mampu ditangani dengan baik. Sebenarnya stress yang kita hadapi boleh ditangani supaya ianya berakhir dengan baik. Tetapi kerana manusia ini kadang-kadang bersikap gopoh dan beremosi, maka stress tidak dapat dikawal dan memudaratkan dirinya sendiri. Emosi pula diistilahkan sebagai perasaan yang kuat yang dihalakan kepada sesuatu benda atau seseorang. Apabila seseorang itu beremosi, dia tidak dapal mengawal system akalnya untuk berfikir secara waras. Apa sahaja tindakannya pada ketika itu adalah diluar kawalannya. Oleh kerana itu, orang yang kuat beremosi ini, dia tidak mampu untuk mengawal stress. Menjadi satu kerugian bagi orang yang kurang sabar dan kuat beremosi ini. Kesan yang paling ketara ialah, mereka seperti ini kurang mendapat tempat dihati rakan-rakan, mendapat cemuhan dikalangan masyarakat dan dijauhi dari nikmat rezeki.

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan stress kepada manusia, khasnya kepada guru-guru. Guru adalah kerjaya yang mulia. Kerjaya guru juga menuntut sepenuh komitmen dari insan yang bergelar guru. Profesion keguruan menuntut kita untuk sentiasa mengawal emosi, supaya kita mampu menahan nafsu amarah apabila berhadapan dengan murid-murid yang pelbagai karenah, yang kadang-kadang ibu bapa sendiri tidah dapat untuk menanganinya. Guru juga terpaksa melayan karenah-karenah ibu bapa yang bermacam ragam. Ibu bapa sekarang menganggap dan menyerahkan sepenuhnya anak-anak mereka kepada guru, bukan hanya untuk diajar, malah untuk dididik sedangkan ibubapa leka untuk mencari rezeki sehingga mengabaikan keperluan anak-anak. Ibu bapa juga ada yang menjadikan sekolah sebagai tempat untuk mendidik anak-anak mereka sepenuhnya. Seharusnya ibu bapa kena juga fikir bahawa guru bukanlah pengasuh untuk mengasuh sepenuhnya anak-anak mereka. Sepatutnya tugasan mendidik itu dibahagikan sama rata antara ibu, bapa dan guru. Jika di sekolah, guru telah menjalankan tanggungjawabnya, sepatutnya tugasan mendidik di rumah, menjadi tanggungjawab ibu bapa pula untuk mendidik anak-anak mereka. Apabila terlalu banyak karenah untuk dilayan, dengan masalah yang sedia ada, pastinya ianya akan menjadi bebanan kepada guru. Bayangkan jika pada masa yang sama, guru tersebut juga mempunyai masalah di rumah, pastinya guru itu tidak mampu untuk mengawal bebanan rasa tersebut dan akan melepaskannya kepada murid-murid. Tidak semena-mena, murid akan terkena tempias kerana guru tersebut telah mengatasi stressnya secara negatif.

Selain melayan karenah anak murid dan penjaga, guru juga terpaksa mengendalikan dan memenuhi kehendak pentadbir dan organisasi pendidikan. Semakin pesat kemajuan ke arah negara maju, semakin berkembang sistem pendidikan di Malaysia dan semakin tinggi permintaan dan harapan terhadap bidang ini. Pelbagai pendedakatan telah dibangunkan untuk menjadikan bidang pendidikan di Malaysia setanding dengan bidang pendidikan di negara-negara maju yang lain. Sebagai pelaksana, guru-guru adalah golongan yang dipertanggungjawabkan supaya setiap dasar yang digubal ini menjadi nyata dan Berjaya. Hakikatnya guru telah dibebani dengan pelbagai tugasan yang diluar bidangnya iaitu focus terhadap pengajaran dan pembelajaran (PdP) samada di dalam bilik darjah mahupun di luar bilik darjah. Selagai proses PdP, dilangsungkan, tidak kira dimana sahaja dan asalkan murid itu memperoleh apa yang diajar, ianya sudah cukup berjaya bagi seorang guru,walau apa jua metod atau pendekatan yang digunakan.

Pihak kementerian mengharapkan guru-guru sekarang menguasai ICT, iaitu kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi. Berbagai kemudahan telah disediakan, namun ianya masih tidak mampu menampung dan memudahkan kerja guru, bahkan ianya semakin memberi tekanan kepada seseorang guru. Pada tahun 2011, dimana KSSR telah bermula dengan kaedah Pentaksiran Berasaskan Sekolah ( PBS ) telah diperkenalkan menggantikan peperiksaan. Pada masa yang sama, setiap perekodan bagi PBS ini hendaklah dimasukkan ke dalam portal kementerian bagi tujuan penilaian tahap penguasaan murid bagi setiap evidens yang telah dikendalikan oleh guru mata pelajaran. Ianya juga hendaklah sentaiasa diakses untuk kemasukan data untuk dipantau samada dasar ini dilaksanakan dengan baik atau tidak. Namun setelah hamper setahun, dasar ini mula mendapat kritikan yang hebat dikalangan pelaksannya iaitu guru kerana merasakan ianya adalah suatu bebanan bilamana guru tidak dapat mengakses portal tersebut kerana kesesakan yang dialami. Malah ada juga guru yang merungut di laman-laman sosial kerana masalah ini. Masalah ini juga telah diajukan kepada NUTP dan pihak kementerian sendiri. Namun masih menemui jalan buntu. Akhirnya setelah diasak dan diberi tekanan oleh guru-guru, sistem online PBS telah dimansuhkan dan ditukarkan kepada sistem offline. Bayangkan begitu ramai guru yang merasai tekanan ini telah mula bersuara, akhirnya ianya membuahkan hasil.

Terdapat pelabagai cara untuk mengatasi stress dikalangan guru. Antaranya ialah sebagai umat Islam, hendaklah sentiasa mengingati Allah SWT. Dengan mengingati Allah, jiwa akan menjadi tenang dan rasa bersyukur. Jika hati walang dan dirundum duka, segeralah memohon keampunan kepadaNya, menjadikan solat lima waktu sebagai salah satu cara untuk mendekatkan diri dengan Allah. Selain itu, umat Islam juga digalakkan untuk membaca Al-Quran dan memahami serta mengamalkannya. Al-Quran mengandungi pelbagai tatacara dan peraturan dalam hidup. Dengan mengamalkan Al-Quran, jiwa kita akan sentiasa hidup dan tenang. Selain itu, berdoalah kepadaNya supaya dijaga dan ditenangkan hati untuk menghadapi setiap ujian. Doa adalah penawar dan mendekatkan kita kepada pencipta. Seterusnya mengamalkan zikir dan memuji-muji nama Allah dan Rasulullah. Dengan ini jiwa kan tenang dan hati jadi bersih. Setiap musibah, ujian dan bebanan yang ditanggung akan diterima dengan baik dan positif.

Selain mendekatkan diri dengan Allah, kita juga seharusnya mendapat kemaafan dari rakan-rakan sekeliling kita. Ini supaya kita merasa selesa untuk membuat kerja atau berkolaborasi dengan rakan tanpa sebarang persengketaan. Kita seharusnya bersangka baik dengan semua orang. Jangan mencari musuh, kerana orang-orang yang rapat dan berada disekeliling kita lah yang akanmembantu kita apabila kita ditima masalah. Berfikiran yang negatif terhadap orang disekeliling kita akan membuatkan hati kita menjadi marah, seterusnya akan membuatkan kita tidak dapat menangani stress itu sendiri. Walaupun kadang-kala kita sering diuji dengan perangai rakan yang bermacam-macam, tetapi kita haruslah redha dan bersangka baik, disamping berdoa supaya dia berubah.

Senaman juga boleh membantu untuk mengurangkan stress. Antaranya boleh melakukan yoga bersama rakan-rakan, disamping beryoga, kita juga dapat menghirup udara segar secara tidak langsung kita akan bersyukur dengan kebesaran Allah yang menciptakan alam ini dan menjadikan jiwa kita tenang. ‘Jogging’ juga boleh dilakukan untuk mengawal tahap emosi yang tidak stabil yang akan menyebabkan stress. Selain ianya juga bagus untuk kesihatan kita, peredaran darah yang baik dan juga bagus untuk jantung.

Guru juga perlu belajar cara menangani stress dan bagaimana untuk mengawal emosi untuk mengelak daripada stress. Selain menghadiri seminar atau bengkel pengurusan stress, ianya juga boleh dipraktikkan melalui pembacaan artikel-artikel yang berkaitan dengan pengurusan stress. Seterusnya berkongsi ilmu dengan rakan-rakan sejawat. Guru juga perlu tahu kesan dan akibat yang akan ditanggung sekiranya gejala ini tidak dibendung. Gejala stress ini akan mengakibatkan guru menjadi seorang yang pemarah, sugul, kuat beremosi, mudah tersinggung dan prestasi kerja kian merosot. Apabila prestasi kerja merosot, ianya akan memberi kesan kepada murid-murid. Murid-murid akan menjadi mangsa kegagalan mengawal emosi guru. Pernah terdapat kes guru merotan murid sehingga meninggalkan kesan, guru mendenda murid memakan rumput dan memakaikan mereka dengan loceng, malah ada juga kes guru menghukum murid sehingga meninggal dunia. Ini semua adalah contoh apabila guru gagal mengawal emosi mereka. Terlalu mengikut nafsu marah, sehingga mengetepikan kewarasan berfikir. Selain murid-murid, pihak sekolah juga turut merasai tempias apabila guru tidak dapat mengawal emosi dn terlibat dengan stress ini. Buktinya, sekolah akan mendapat nama yang buruk dan akan disebut-sebut kerana kes yang negatif itu, bukan kerana kejayaan atau kerana perkara-perkara yang  positif. Akhirnya ia akan memberi kesan kepada profesion perguruan. Selama ini anggapan masyarakat terhadap profesion ini amatlah tinggi. Bahkan guru dianggap mulia kerana kerjaya dan tugas guru itu sendiri. Guru dianggap golongan professional yang penuh dengan intergriti. Tetapi, jika segelintir guru yang hanya mengikut nafsu marah, pastinya profesion ini akan dianggap profesion yang penuh dengan tekanan. Sedangkan masyarakat tidak tahu hakikat sebenar tugasan yang mulia ini.

Terlalu banyak punca dan faktor yang boleh menyebabkan stress dikalangan guru-guru selain yang disebutkan di atas. Tugasan guru disekolah boleh dikatakan meliputi segala aspek. Guru bukan sahaja mengajar dan mendidik, malah guru juga merupakan seorang doktor apabila murid sakit, pemandu ambulans untuk menghantar murid ke hospital sekiranya berlaku kecemasan. Guru juga boleh menjadi polis dan penyiasat persendirian untuk menyiasat kes-kes kecurian yang berlaku di sekolah. Guru juga merupakan seorang akauntan atau juruwang apabila musim membayar yuran. Selain itu guru mampu menjadi tukang sapu dan pereka hiasan dalaman demi melihat kelangsungan pembelajaran dalam bilik darjah yang kondusif, dan paling penting guru boleh menjadi badut untuk menghiburkan muridnya ketika di dalam kelas sewaktu menyampaikan isi pembelajaran mahupun untuk persembahan ketika Hari Guru. Namun kami tidak kisah melakukan semua itu demi tugas dan tanggungjawab kami terhadap anak bangsa.


Sampai bila-bila pun, tugasan mendidik anak bangsa ini akan dipikul walau jutaan cabaran dan dugaan mendatang samada dari murid, ibu bapa, organisasi pendidikan dan seterusnya pihak-pihak luar. Sesuangguhnya tugas yang berkat itu hadir dari hasil kerja yang ikhlas. Saya bangga menjadi guru dan akan terus menjadi guru.

No comments:

Post a Comment